Penggunaan
bahan bantu mengajar bukanlah sesuatu yang asing dalam pendidikan di Malaysia.
Bahan bantu mengajar merupakan bahan yang digunakan oleh guru secara langsung
semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Penggunaan bahan
bantu mengajar memberi sumbangan yang amat besar dalam mempertingkatkan mutu
pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru dan pelajar. Bahan bantu
mengajar ini juga dapat menyelesaikan pelbagai masalah dalam kaedah pengajaran
guru yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman (Omardin Ashaari, 1999).
Pengajaran guru akan menjadi lebih
mudah dengan penggunaan bahan bantu mengajar apabila bahan yang digunakan itu
bersesuaian dengan tajuk pelajaran yang ingin disampaikan oleh guru. Penggunaan
bahan bantu mengajar yang menarik dapat mencetuskan minat pelajar yang selama
ini lebih tertumpu kepada penggunaan buku teks sahaja. Peralatan yang digunakan
juga menjadi pengalak dan pendorong dalam penyampaian sesuatu pelajaran. Bahan
bantu mengajar dapat mewujudkan suasana persekitaran yang sesuai kepada
pelajar. Atan Long ( 1982) menyatakan bahawa bahan bantu mengajar terdiri
daripada pelbagai bahan dan sesuatu bahan boleh disampaikan dengan pelbagai
cara, misalnya dalam bentuk buku, carta, atau mengunakan slaid dan dipancarkan
pada skrin. Bahan bantu mengajar dapat dibahagikan kepada dua iaitu bahan yang
menggunakan media elektronik dan bahan yang menggunakan media bukan elektronik.
Manakala menurut Ngui Kuen Sang
(1981) menjelaskan bahawa kita tidak dapat memberi takrif yang tetap walaupun
pada keseluruhannya ramai pendidik menyetujui bahawa penggunaan bahan bantu
mengajar dalam situasi pengajaran dan pembelajaran adalah pengalaman yang
melibatkan penggunaan penglihatan dan pandangan seseorang. Menurut Thomas,
R.Murray & et al. ( 1963) dalam bukunya menjelaskan bahawa hanya alat bantu mengajar (BBM) yang mempunyai
komunikatif tinggi yang mampu membantu pelajar memperolehi pengalaman belajar
yang berfaedah bagi mengembangkan sikap ilmiah, sikap sosial, kemantapan emosi
dan daya penghargaan. Secara ringkasnya, bahan bantu mengajar merupakan
kelengkapan yang digunakan oleh guru untuk membantu guru menyampaikan
pengajaran dengan lebih berkesan kepada pelajar.
No comments:
Post a Comment